Berikutan kes semasa yang dihadapi oleh seorang saudara (semoga beliau mendapat pembelaan sewajarnya) yang dicerobohi rumahnya oleh perompak, tersebar banyak di media-media sosial suatu hadis sahih riwayat Muslim yang berbunyi:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: “جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن جاء رجل يريد أخذ مالي؟ قال: فلا تعطه مالك، قال: أرأيت إن قاتلني؟ قال: قاتله، قال: أرأيت إن قتلني؟ قال: فأنت شهيد، قال: أرأيت إن قتلته؟ قال: هو في النار” (رواه مسلم).

Hadis tersebut telah diterjemahkan seperti berikut:

Dari Abu Hurayrah RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulallah, bagaimana pendapatmu jika ada seorang lelaki mahu merampas harta bendaku? Baginda menjawab: Jangan serahkan hartamu padanya! Lelaki tersebut bertanya lagi: Bagaimana jika dia mahu MEMBUNUHKU? Baginda jawab: Bunuhlah dia! Lelaki tersebut bertanya lagi: Bagaimana pendapatmu kalau dia berjaya membunuhku? Baginda menjawab: Maka kamu syahid. Lelaki tersebut bertanya lagi: Bagaimana jika aku yang membunuhnya? Baginda menjawab: Dia yang akan dimasukkan ke dalam api neraka” (riwayat Muslim).
MASALAH PENTERJEMAHAN:

Perkataan “قاتل” pada jumlah: “أرأيت إن قاتلني؟ قال: قاتله” telah diterjemahkan sebagai BUNUH, walhal yang lebih tepat ialah MEMERANGI.
IMPLIKASI KESILAPAN TERJEMAHAN:

Hadis tersebut disalah erti sebagai menggalakkan pembunuhan pada mereka yang diancam nyawanya secara total. Maka skop maknanya telah disempitkan kepada keharusan untuk terus membunuh bagi yang terasa perompak tersebut mahu mengambil nyawanya, walhal maksud memerangi itu lebih luas dan lebih tepat dengan bahasa arab.
ULASAN RINGKAS:

Perkataan “قاتل” (qaatala-dibaca panjang huruf qaf) “مقاتلة” bermaksud: Memerangi/peperangan. “قتل” (qatala-dibaca pendek) pula bermaksud: Bunuh.
Memerangi tidak semestinya melibatkan kehilangan nyawa. Dalam peperangan ada yang terselamat dan ada yang terbunuh. Konsep memerangi lebih luas ertinya, ada yang melibatkan kematian jika perlu dan ada yang tidak. Misal peperangan yang tidak melibatkan kematian: Memerangi rasuah yang tidak bererti membunuh pelaku rasuah. Manakala pembunuhan pula lebih sempit dan spesifik mafhumnya iaitu yang melibatkan kehilangan nyawa, justeru ia hanya dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu.
Maka dari sudut fiqh hadis, katakan perompak tersebut menyerang anda dengan parang misalnya dan anda mampu menumpaskannya tanpa membunuhnya atau menakutkannya sehingga dia lari, perbuatan itu juga termasuk dalam konteks memerangi yang tidak memerlukan pembunuhan. Namun boleh jadi juga ketika “memeranginya” dalam pergelutan, anda terbunuh perompak tersebut atau anda pantas menetak lehernya terlebih dahulu tatkala perompak tersebut mengacukan pistol ke kepala anak anda, maka itu juga sebahagian dari makna hadis tersebut yang diterjemahkan pada jumlah akhir hadis.
Mafhum hadis tersebut ialah supaya kita melawan (memerangi) perompak tersebut dengan pelbagai wasilah yang termampu, bukan terhad semata-semata untuk terus membunuhnya ketika mempertahankan diri dan harta.
Wallahu a’lam…
Sumber : Ustaz Kamilin Jamilin

Iklan